Info Internet

Pengusaha laman sesawang popular ditahan

PUTRAJAYA – Seorang pengusaha sebuah laman sesawang popular muat turun dan muat naik muzik secara haram yang mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit sejak tahun 1997, akhirnya ditahan pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Kelantan.

Pengarah Penguatkuasa Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas sepasukan penguatkuasa menyerbu kediamannya di Kubang Kerian pada 11 Jun lepas.

“Laman sesawang yang menawarkan perkhidmatan muat turun dan muat naik lagu-lagu Melayu telah mengaut keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit berdasarkan servis iklan dan sumbangan daripada mereka yang menjadi ahli laman sesawang JWG.

“Lelaki itu mengaku pernah memperoleh pendapatan lumayan, iaitu mencecah RM10,000 sebulan pada tahun 2006, tetapi pendapatannya merosot kepada RM1,500 sebulan sekarang setelah muncul pesaing yang menggunakan modus operandi yang sama dengan JWG,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sheikh Raffie Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) Tan Ngiap Foo.

Roslan berkata pasukan penguatkuasa juga merampas peralatan ICT bernilai RM30,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hakcipta 1987 yang membawa hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata Bahagian Penguatkuasa akan mengeluarkan notis halangan kepada SKMM bagi menghalang akses laman sesawang JWG seperti yang diperuntuk mengikut Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, Tan berkata industri muzik menanggung kerugian kira-kira RM10 juta dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini berikutan laman sesawang yang menawarkan muat naik dan muat turun lagu di negara ini.

“Saya berterima kasih kepada KPDNKK yang membuat serbuan sebegini. RIM akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pengusaha laman sesawang JWG bagi menuntut ganti rugi yang ditanggung industri muzik,” katanya.

Beliau juga berkata RIM telah mengenal pasti laman sesawang yang menawarkan perkhidmatan serupa kepada pengguna bukan sahaja dari Malaysia malah Indonesia dan Brunei.

Dalam perkembangan berkaitan, Roslan berkata KPDNKK sedang menyiasat sekurang-kurangnya 32 laman sesawang yang menawarkan muat turun dan muat naik muzik serta filem percuma secara haram di negara ini.

Beliau berkata sebanyak 30 aduan diterima berhubung laman sesawang dikategori sebagai ‘jerung siber’ yang menyumbang kepada pelanggaran hak cipta.

“Siasatan awal mendapati laman sesawang ini beroperasi di dalam dan luar negara. Kita akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, SKMM dan pemilik hak cipta untuk menjejaki serta melumpuhkan jerung siber ini agar tindakan tegas dapat diambil ke atas mereka,” katanya.

Roslan turut mengingatkan semua agensi kerajaan melalui Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Keselamatan Komputer Malaysia (MyCert) supaya mengambil langkah berjaga-jaga serangan siber ke atas laman sesawang kerajaan selepas laman JWG dihalang akses.

“Ini adalah berdasarkan pengalaman pada tahun 2011 yang menyaksikan beberapa laman sesawang kerajaan digodam setelah 10 laman sesawang yang melanggar Akta Hakcipta 1987 dihalang akses,” katanya. – Bernama

© 2013, khairilizwan. All rights reserved.

Previous ArticleNext Article
Nama sebenar penulis ialah Khairil Izwan bin Jamros @ Khairilizwan. Penulis dilahirkan pada 1/2/1989 di Kudat,Sabah dan kini menetap di Kota Kinabalu,Sabah. Penulis mula aktif dalam dunia internet sejak tahun 2006 lagi dan mula menulis blog pertamanya pada tahun 2008 lagi iaitu blog cekapkomputer.com. Kini penulis bergerak lebih aktif lagi bersama pasukan khasnya yang dikenali sebagai "Khaiz Network".Antara perkhidmatan yang ditawarkan Khaiz Network ialah perkhidmatan membina laman web,minisite,kedai online,sewaan domain & hosting,personal coaching,seminar,perkhidmatan video & gambar untuk perkahwinan,perkhidmatan hotspot dan banyak lagi.

Leave a Reply