Info Internet

Remaja muat turun, filem tanpa kebenaran ditahan

Godam.org

godam.org

PUTRAJAYA – Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menahan seorang remaja lelaki kerana disyaki memuat turun dan memuat naik lagu tempatan dan filem antarabangsa di laman web tanpa kebenaran pemilik hakcipta.
   
Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin berkata suspek berusia 18 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Larkin Perdana, Johor Baharu, Rabu lepas, selepas risikan dan pemantauan dibuat kira-kira sebulan.
   
“Serbuan dilakukan hasil aduan pemilik hak cipta dan orang ramai berhubung laman web yang dijadikan portal untuk memuat-turun atau tayangan (streaming) muzik-muzik tempatan dan filem antarabangsa tanpa kebenaran pemilik hakcipta,” katanya pada sidang akhbar mengenai Ops Trident di sini hari ini.
   
Serbuan itu melibatkan 15 orang disertai Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK, pegawai Cybersecurity Malaysia dan pegawai serta anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman, katanya.
   
Beliau berkata, beberapa peralatan digital turut disita bernilai kira-kira RM15,000 termasuk komputer riba, komputer peribadi, broadband, router dan modem.

Mohd Roslan berkata, suspek bagaimanapun tidak mengaku sebagai pemilik laman web www.godam.org yang memuat turun 20 lagu secara haram antaranya ‘Kita’ (Forteen), ‘Doa’ (Nora), ‘Menyemai Cinta Bersamamu’ (Nora), ‘Titian Usang’ (Yantzen) dan ‘Cintaku’ (Yantzen).
   
Manakala lapan filem kebanyakannya filem-filem terbaru turut ditayangkan tanpa kebenaran di portal itu termasuk “47 Ronin”, “Gravity”, “Ride Along”, “Pacific Rim”, “We Are The Millers”, “The Hangover 3”, “The Hobbit: The Desolation of Smaug” dan “The Wolverine”, katanya.
   
Mengikut maklumat risikan, laman web itu turut dipromosikan di beberapa media sosial seperti Facebook yang turut dikongsi oleh pengguna-pengguna internet lain, kata beliau.
   
Katanya suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Bahru untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 1(D) Akta Hak Cipta 1987 dan Seksyen 51 (1)A akta yang sama.
   
“Jika sabit kesalahan hukuman denda boleh dikenakan sekurang-kurangnya RM2,000 atau maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” kata beliau.
   
Mohd Roslan berkata, pihaknya akan menyerahkan notis secepat mungkin kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi menghalang orang ramai mengakses laman web itu. – Bernama

Sumber : Sinar Harian
26 Mei 2014
http://www.sinarharian.com.my/semasa/remaja-muat-turun-filem-tanpa-kebenaran-ditahan-1.284109

Godam.org

© 2014, khairilizwan. All rights reserved.

Previous ArticleNext Article
Nama sebenar penulis ialah Khairil Izwan bin Jamros @ Khairilizwan. Penulis dilahirkan pada 1/2/1989 di Kudat,Sabah dan kini menetap di Kota Kinabalu,Sabah. Penulis mula aktif dalam dunia internet sejak tahun 2006 lagi dan mula menulis blog pertamanya pada tahun 2008 lagi iaitu blog cekapkomputer.com. Kini penulis bergerak lebih aktif lagi bersama pasukan khasnya yang dikenali sebagai "Khaiz Network".Antara perkhidmatan yang ditawarkan Khaiz Network ialah perkhidmatan membina laman web,minisite,kedai online,sewaan domain & hosting,personal coaching,seminar,perkhidmatan video & gambar untuk perkahwinan,perkhidmatan hotspot dan banyak lagi.

Leave a Reply