Dua penggodam data ditahan

Penggodam

Polis di Korea Selatan menahan dua penggodam yang mencuri data peribadi 8.7 juta pelanggan daripada Korean Telecom, penyedia perkhidmatan mudah alih kedua terbesar negara itu.

KT berkata, kedua-dua penggodam itu ditahan selepas mencuri data seperti nama pelanggan, nombor telefon dan nombor pendaftaran kediaman selama lima bulan sejak Februari dan menjualnya kepada firma pemasaran dalam talian.

“Jumlah pengguna yang terjejas mewakili hampir separuh daripada 17 juta pelanggan kami,” kata jurucakap KT sambil menambah syarikat itu memaklumkan kepada pihak polis pada 13 Julai selepas mendapati tanda serangan penggodam.

Agensi berita Yonhap, memetik pihak polis berkata kedua-dua individu itu adalah bekas penulis program dalam syarikat IT tempatan yang sudah meraih sekurang-kurangnya 1 bilion won (RM2.77 juta) dengan menjual data yang dicuri itu.

Tujuh individu lain juga didapati melakukan tempahan untuk membeli data bocor itu bagi tujuan pasaran melalui telefon, kata Yonhap.

“Kami memohon maaf kerana menyebabkan kebocoran maklumat peribadi anda. Kami akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi,” kata KT dalam satu kenyataan kepada pelanggan.

Serangan penggodam terhadap syarikat besar ditujukan bagi mendapatkan akses kepada data peribadi pelanggan yang mana ia sering berlaku di Korea Selatan, salah satu negara yang mempunyai perhubungan dalam talian tertinggi di dunia.
Pihak berkuasa Seoul berkata pada Julai tahun lalu, penggodam menggunakan alamat internet yang didaftarkan di China dan berjaya mengakses laman web utama Korea Selatan termasuk, portal Nate.com dan mungkin mencuri data peribadi 35 juta pengguna.

Pada November 2011, pembangun utama permainan Seoul, Nexon menyaksikan maklumat 13 juta pengguna permainan internet popularnya, MapleStory dicuri oleh penggodam.

Pada 2010, pihak berkuasa melancarkan siasatan terhadap sistem keselamatan peruncit utama, Shinsegae dan 24 syarikat lain selepas data peribadi 20 juta pelanggan bocor._AFP

Sumber : BH

Penggodam

© 2012, khairilizwan. All rights reserved.

Previous ArticleNext Article
Nama sebenar penulis ialah Khairil Izwan bin Jamros @ Khairilizwan. Penulis dilahirkan pada 1/2/1989 di Kudat,Sabah dan kini menetap di Kota Kinabalu,Sabah. Penulis mula aktif dalam dunia internet sejak tahun 2006 lagi dan mula menulis blog pertamanya pada tahun 2008 lagi iaitu blog cekapkomputer.com. Kini penulis bergerak lebih aktif lagi bersama pasukan khasnya yang dikenali sebagai "Khaiz Network".Antara perkhidmatan yang ditawarkan Khaiz Network ialah perkhidmatan membina laman web,minisite,kedai online,sewaan domain & hosting,personal coaching,seminar,perkhidmatan video & gambar untuk perkahwinan,perkhidmatan hotspot dan banyak lagi.

Leave a Reply