Idottv kuasai lima negara

Idottv

Keperluan terhadap kepentingan­ teknologi mudah alih adalah perkara penting dalam era teknologi telekomunikasi dan maklumat (ICT) masa kini. Bagi memenuhi peluang tersebut, satu-satunya syarikat Bumiputera yang semakin giat mencipta nama adalah Idottv Sdn Bhd.

Misi syarikat adalah membangunkan produk berteknologi mudah alih mengikut keperluan dan kehendak pelanggan dan pada masa sama terus mengekalkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Idottv Sdn Bhd adalah peneraju penyelesaian dan pembekal maklumat negara khusus dalam segmen teknologi integrasi mudah alih sebagai penyelesaian bagi menyediakan produk premium kepada pelanggan.

Idottv ditubuhkan pada 2002 di bawah Syarikat Kumpulan Sedania, dan berkembang ke lima buah negara termasuk Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Thailand dan baru sahaja selesai meneroka pasaran Singapura. Pada 2006, Idottv menerima status Syarikat Koridor Raya Multimedia (MSC) dan juga memegang lesen bertaraf Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Selain pengiktirafan di atas kejayaan itu, Idottv menerima anugerah Arch Of Europe Quality 2011, Anugerah ICT NEF Awani 2011, London 2012 Sukuk Summit, Anugerah Mobile Premier Barcelona 2011, Delotte techlonogy Fast 2010, Frost and Sullivan 2010 dan Anugerah Apicta.

Perkhidmatan pertama bakal teroka Indonesia

Ketua Pegawai Eksekutifnya, El Hadj Azahari berkata, perniagaan dan fokus utama Idottv adalah dalam segmen perkhidmatan teknologi komunikasi.

“Kami bermula dengan projek pertama sebagai syarikat telekomunikasi tempatan menerusi perkhidmatan perkongsian nilai yang diperkenalkan 2004. Sehingga kini, perkhidmatan itu telah beroperasi selama lapan tahun dan turut mencipta nama di negara luar seperti Bangladesh,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya, di Kelana Park View, Petaling Jaya.

Menurutnya, bagi membawa perkhidmatan­ itu ke pasaran lebih besar, Idottv berhasrat memasuki pasaran Indonesia pada bulan hadapan. Sejak itu, Idottv terus mengorak langkah mengembangkan perniagaan dalam industri lain seperti penyelesaian mudah alih, insurans, aplikasi telefon pintar, utiliti dan peruncitan.

Perkenalkan produk teknologi hijau

Memahami perlunya memelihara alam sekitar, Idottv kini memperkenalkan bil hijau dengan kerjasama bersama salah sebuah syarikat telekomunikasi tempatan terkemuka negara, setahun lalu. El Hadj berkata, perkhidmatan itu menyediakan kemudahan bayaran kepada pelanggan pasca bayar telekomunikasi syarikat itu yang boleh dimuat turun menerusi aplikasi App store dan Android.

Katanya, bagi memberikan lebih kemudahan kepada pelanggan, Idottv terus mengemas kini aplikasi agar boleh dinikmati pelanggan prabayar yang bakal dilancarkan pada masa akan datang. Selain itu, Idottv juga dalam perundingan dengan beberapa syarikat perbankan tempatan untuk melancarkan perbankan hijau (Green Banking) yang menawarkan kemudahan canggih seperti mendapatkan nombor giliran bank dan juga memeriksa penyata hanya melalui telefon pintar.

“Kami menerima respons menggalakkan daripada beberapa syarikat perbankan negara dan kini dalam proses rundingan, hanya akan memperkenalkan produk itu apabila mendapat kata sepakat,” katanya.

Sebelum ini, Idottv juga terlibat dalam penyelesaian perbankan Islamik menerusi ‘As-Sidq’ iaitu sistem perdagangan kewangan peribadi yang mematuhi syariah sepenuhnya menerusi telefon pintar dan turut dijangka ke Indonesia akhir tahun ini.

Bakal hasil teknologi NFC

Bukan itu sahaja, Idottv kini dalam proses membangunkan produk berasaskan teknologi Komunikasi Medan Berhampiran (NFC) sebagai transformasi besar dalam industri peruncitan negara.

“Kami telah sampai ke peringkat akhir, bagaimanapun perlu menunggu maklumat teknikal daripada peruncit. Walaupun teknologi itu masih belum mendapat sambutan dalam kalangan pengguna tempatan,­ kami berharap dapat melancarkan produk itu dalam suku ketiga tahun ini,” katanya.

Lahir empat lagi teknologi baru

Sementara itu, Pengarah Korporat dan Undang-Undangnya, Zahani Yuhyi berkata, sejak ditubuhkan, Idottv telah menghasilkan lebih sepuluh produk dalam pelbagai industri dan berjaya membawa teknologi tempatan itu ke persada antarabangsa.

“Tahun ini, kami menyasarkan untuk menghasilkan empat lagi produk dengan teknologi baru termasuk teknologi perbankan hijau yang bakal dilaksanakan sedikit masa nanti. Kesemua produk kami ini juga telah dipatenkan dan merupakan antara yang pertama pernah dihasilkan dalam negara,” katanya.

Zahani berkata, misi utama syarikat adalah memenuhi keperluan pengguna dengan menghasilkan pelbagai produk dan perkhidmatan menerusi telefon mudah alih yang mampu membantu menyelesaikan semua masalah hanya menggunakan satu peranti. Oleh itu, sebagai perancangan masa hadapan, Idottv merancang membina lebih banyak produk berinovatif.

Wujudkan kumpulan WIT

Selaras menuju ke arah syarikat bertaraf antarabangsa, Idottv mewujudkan satu kumpulan terdiri daripada golongan muda yang memiliki kemahiran kreatif dan inovatif dikenali sebagai Kumpulan Inovatif Dunia (WIT). Zahani berkata, kumpulan itu akan menghasilkan, mengumpul dan melahirkan lebih banyak idea bersama produk berteknologi canggih pada masa akan datang. Setakat ini, Idottv mempunyai 20 ahli di bawah kumpulan itu dan menyasarkan pertumbuhan ahli meningkat lebih ramai sehingga 60 orang menjelang akhir 2012.

Intai peluang ke pasaran lebih besar

“Kami turut merancang menerokai pasaran­ negara lain dalam rantau ini seperti Vietnam dan Myanmar serta ke pasaran lebih besar seperti Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Pasaran baru itu nanti akan membawa produk kami ke peringkat antarabangsa, sekali gus menguasai pasaran lebih luas,” katanya.

Idottv

sumber : Sinar Harian

© 2012, khairilizwan. All rights reserved.

Previous ArticleNext Article
Nama sebenar penulis ialah Khairil Izwan bin Jamros @ Khairilizwan. Penulis dilahirkan pada 1/2/1989 di Kudat,Sabah dan kini menetap di Kota Kinabalu,Sabah. Penulis mula aktif dalam dunia internet sejak tahun 2006 lagi dan mula menulis blog pertamanya pada tahun 2008 lagi iaitu blog cekapkomputer.com. Kini penulis bergerak lebih aktif lagi bersama pasukan khasnya yang dikenali sebagai "Khaiz Network".Antara perkhidmatan yang ditawarkan Khaiz Network ialah perkhidmatan membina laman web,minisite,kedai online,sewaan domain & hosting,personal coaching,seminar,perkhidmatan video & gambar untuk perkahwinan,perkhidmatan hotspot dan banyak lagi.

Leave a Reply